Media Coverage

Program PRIHATIN Kasih bantu 300,000 miskin bandar

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan memaklumkan projek perintis Program PRIHATIN Kasih bagi menghulurkan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar dimulakan 1 Julai lalu di Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut kenyataan kementerian itu, program dengan peruntukan RM100 juta itu diumumkan sebagai salah satu langkah pakej PEMERKASA bagi membantu kos sara hidup bagi golongan berkenaan.

Jelasnya, program bantuan barangan dapur itu disalurkan secara tanpa tunai melalui pengunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.

“Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih dipilih daripada keluarga miskin bandar, dengan mengambil kira pangkalan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan e-Kasih.

“Program tersebut melibatkan bantuan bulanan RM100 selama tiga bulan untuk pembelian barang dapur berdasarkan pilihan isi rumah termasuk makanan dalam tin, susu bayi, beras dan minyak masak. Ia melibatkan lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai seluruh negara,” jelas kementerian tersebut hari ini

Kementerian Kewangan menyebut, setelah fasa pertama dilaksanakan di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan maklum balas positif, fasa selanjutnya akan dilancarkan Ogos ini di Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu serta September hingga Oktober di Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak.

Penerima berkelayakan akan menerima pesanan ringkas dari MyKasih untuk pengesahan status sebagai penerima manfaat program berserta tarikh dan masa bagi sesi taklimat orientasi kedai runcit berdekatan.

Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/.

Jelas kementerian, MyKasih merupakan pelengkap kepada Program Bakul Makanan di bawah pakej bantuan termasuk PERMAI, iaitu Program Bakul Makanan bernilai RM50 juta dan PEMULIH, Program Bakul Makanan RM80 juta kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang.

Peruntukan PERMAI di kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi dihulurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Pembandaran Sandakan dengan baki selebihnya untuk masyarakat Orang Asli.

“Rakyat memerlukan boleh memanfaatkan program agihan makanan dengan kelolaan kementerian dan agensi kerajaan termasuk JKM, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Islam Wilayah Persekutuan (Program Gerobok Rezeki)”, katanya.