Kuala Lumpur: Projek perintis Program Prihatin Kasih bagi menghulurkan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar melalui kaedah pembayaran tanpa tunai menerusi MyKad memberi kelegaan golongan itu untuk berdepan kesan berterusan pandemik Covid-19.
Pengasas Pertubuhan Amal Global Care Revival, Ahmad Fahmi Mohd Hussain berkata, beliau yang turun padang menyampaikan bantuan bakul makanan mendengar rintihan golongan miskin bandar yang terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
“Kita perlu akui golongan miskin bandar meningkat terutama selepas PKP 1.0, ada diberhentikan kerja dan tiada sumber pendapatan.
“Dengan pengumuman Kementerian Kewangan mengenai Prihatin Kasih dengan peruntukan RM100 juta di bawah pakej Pemerkasa ia membantu meringankan kos sara hidup bagi golongan miskin bandar.
“Program bantuan barangan dapur ini disalurkan secara tanpa tunai menerusi penggunaan MyKad dan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar utama di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan menangkis dakwaan golongan miskin bandar dipinggirkan.
“Bantuan Prihatin Kasih berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan saya percaya data ini lebih tepat.
“Saya difahamkan, aplikasi dan pautan digunakan dapat mengenal pasti secara tepat siapa yang menjadi miskin bandar,” katanya.
Menurutnya, pasti peruntukkan kerajaan itu untuk meringankan beban mereka melalui kelangsungan hidup dalam keadaan negara masih dilanda pandemik.
“Bantuan barangan dapur tanpa tunai ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka sementara menunggu ekonomi keluarga pulih.
“Malah, bantuan barangan bernilai RM100 untuk tiga bulan itu sebenarnya jumlah besar buat mereka.
“Kadang-kadang ketika saya menyampaikan bantuan makanan sekitar RM35 atau RM40, kita rasa sedikit, tetapi bagi mereka jumlah ini sangat besar dan tahan untuk sebulan,” katanya.
Katanya, selain itu, program ini bagus kerana merangkumi rantaian pasar raya dan banyak kedai.
“Lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai seperti Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai runcit dan tidak terhad kepada kedai terpilih,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Inspirasi Ibu Tunggal dan Wanita Kuala Lumpur (Piwani), Zubaidah Abdul Rashid berkata, program itu tepat kepada sasaran terutama golongan ibu tunggal yang memerlukan bantuan.
“Hanya perlu tunjuk MyKad dan beli barangan keperluan, sangat memudahkan dan mengelak orang menyalahgunakan peruntukan kerajaan.
“Malah, barangan dibeli disenarai sebagai keperluan asas, jadi tidak timbul isu salah menggunakan RM100 untuk membeli barangan lain,” katanya.