KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menunjukkan perkembangan positif dengan enam negeri telah mencapai ketiga-tiga nilai ambang yang ditetapkan dan kini mampu beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2, demikian kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, perkembangan yang baik dicatatkan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang itu akan memberi inspirasi dan semangat kepada negeri lain untuk turut melangkaui Fasa 1 secepat mungkin.
Katanya, PPN telah ditambah baik dengan membenarkan peralihan fasa mengikut negeri sebagai langkah untuk memberi autonomi, insentif dan harapan kepada setiap negeri untuk beralih keluar daripada Fasa 1 ke fasa seterusnya.
“Pendekatan ini difikirkan lebih adil kerana membolehkan peralihan lebih awal bagi negeri yang berjaya menurunkan penularan kes COVID-19, mencapai kapasiti ICU yang selamat, serta mencatat nilai ambang penduduk dewasa yang divaksinasi, iaitu tiga nilai ambang nasional yang menjadi syarat peralihan fasa ke fasa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 15 Jun 2021,” katanya ketika membentangkan Laporan LAKSANA ke-60 yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.
Mengenai Program PRIHATIN Kasih, Tengku Zafrul berkata, penyaluran bantuan makanan bernilai RM100 juta itu telah bermula bulan ini.
Beliau berkata, melalui program itu, dengan hanya menggunakan MyKad, penerima makanan bantuan asas boleh mendapatkan bantuan barangan dapur secara tanpa tunai melalui lebih 300 rangkaian kedai runcit atau pasar raya di seluruh negara dengan mudah dan cepat.
Katanya, sekitar 300,000 isi rumah miskin di bandar utama di seluruh negara akan mendapat manfaat, yang mana setiap penerima isi rumah akan menerima bantuan bulanan RM100 selama tiga bulan.
“Fasa Pertama Program PRIHATIN Kasih telah bermula 1 Julai 2021 di Selangor dan Kuala Lumpur, antara kawasan yang terkesan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan fasa selanjutnya akan dilancarkan di semua negeri sehingga Oktober 2021,” katanya.
Tengku Zafrul juga mengimbas kembali Program Bakul Makanan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang membabitkan peruntukan RM50 juta di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Beliau berkata, setakat 7 Julai 2021, sebanyak 438,376 bakul makanan telah berjaya diagihkan kepada penerima kurang berkemampuan dan terkesan.
Katanya, sebagai tambahan kepada Program Bakul Makanan sedia ada, selain Program PRIHATIN Kasih, kerajaan juga telah memperuntukkan RM80 juta dengan agihan RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen termasuk Parti Pembangkang.
“Peruntukkan ini telah disalurkan kepada semua Ahli Parlimen bermula 1 Julai 2021. Baki selebihnya untuk pengagihan bakul makanan kepada masyarakat orang asli.
“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, kerajaan tidak memandang perbezaan politik. Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan. Gunalah peruntukkan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.