Perdana Menteri berkata program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumum minggu lepas merupakan antara langkah besar bagi merealisasikan gagasan itu. – Foto FB Anwar Ibrahim
IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau beriltizam untuk mereformasi ekonomi negara bagi menjulang darjat rakyat dan langkah itu wajib bermula dengan golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumum minggu lepas merupakan antara langkah besar bagi merealisasikan gagasan itu.
“Saya turun padang ke Mydin di Meru, Ipoh hari ini bagi melihat sendiri kesedaran dan impak SARA yang disasarkan untuk membantu menambah kuasa beli kepada mereka yang memerlukan bagi mendapatkan barang-barang asas dari rangkaian rakan runcit dengan lebih 500 kedai terlibat di seluruh negara.
“Moga ia bermanfaat dan meningkatkan ekonomi negara,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini dengan tanda pagar #MalaysiaMADANI.
Terdahulu, Anwar meninjau Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu di sini hari ini sebelum ke pasar raya Mydin dan kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak bagi semakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta SARA.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan SARA akan kembali dan bermula secara berperingkat pada 22 Jan lepas selain memaklumkan ia telah ditambah baik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding RM130 juta pada 2023.
— BERNAMA