Kempen Sentuhan Ikhlas bantu keluarga B40 melalui transaksi tol dengan MyDebit

Puchong: Pengguna di empat lebuh raya di Lembah Klang kini berpeluang membantu keluarga B40 melalui transaksi tol dengan MyDebit sempena kempen Sentuhan Ikhlas.

Usaha murni itu dilakukan Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) di 152 lorong tol MyDebit Lebuhraya Kumpulan ALR-Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), SMART dan Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR Sazally Saidi berkata, mekanisme Sentuhan Ikhlas ialah menyumbang kepada kebaikan secara kolektif melalui transaksi tol harian yang dapat meringankan beban golongan memerlukan.

Menurutnya, kempen itu menyasarkan untuk menyumbang RM500,000 kepada Yayasan MyKasih selepas mencapai lima juta transaksi MyDebit dalam tempoh dua bulan yang akan memberi manfaat kepada 1,000 keluarga berpendapatan rendah.

“Setiap transaksi MyDebit di lebuh raya kami memberi kesan kepada keluarga memerlukan. Kami berharap inisiatif ini akan memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai pengguna untuk bersama-sama kami menyertai kempen Sentuhan Ikhlas.

“Setiap pembayaran tol MyDebit yang dibuat di keempat-empat lebuh raya ini menyumbang kepada sasaran transaksi itu yang mana setiap kali pengguna membuat transaksi, PayNet akan menyumbang dana kepada Yayasan MyKasih.

“Sumbangan itu akan membantu keluarga berkenaan membeli makanan dan keperluan isi rumah melalui penggunaan MyKad mereka,” katanya pada pelancaran kempen itu di Plaza Tol Puchong Selatan LDP, di sini, hari ini.

Katanya, dana akan diagih secara berperingkat, mengikut pencapaian transaksi MyDebit iaitu RM100,000 selepas satu juta transaksi dicapai; RM150,000 pada 2.5 juta transaksi dicapai; dan RM250,000 apabila mencapai lima juta transaksi.

“Dengan menyertai kempen Sentuhan Ikhlas, pemandu bukan saja menyokong usaha murni ini tetapi turut mendapat manfaat dengan kaedah pembayaran yang mudah dan selamat dengan menggunakan MyDebit di lebuh raya itu.

“Penukaran kepada MyDebit adalah sangat mudah kerana setiap kad mesin pengeluaran automatik (ATM) adalah kad MyDebit dan pemandu juga dilindungi dengan penyulitan data peringkat bank dengan sistem pengesanan penipuan selain pembayaran tol yang cepat dan mudah tanpa perlu penambahan nilai kad,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet Azrul Fakhzan Mainor berkata, pihaknya teruja apabila MyDebit diintegrasikan dalam kehidupan seharian pemandu,

sambil menyumbang kepada komuniti kurang berkemampuan.

“Melalui Sentuhan Ikhlas, setiap transaksi MyDebit membuka peluang untuk kita mencipta impak positif bersama,” katanya.

Maklumat lanjut berserta kemaskini berkala tentang kempen itu boleh didapati di www.sentuhanikhlas.com.