Semalam (24 Sept), Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) telah melancarkan kempen ‘Sentuhan Ikhlas’, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana setiap transaksi tol dengan MyDebit memberi pengguna peluang untuk membantu keluarga B40 di seluruh Malaysia.
Melalui inisiatif ini, pengguna lebuh raya di bawah Kumpulan ALR iaitu KESAS, LDP, SMART dan SPRINT kini boleh menyumbang dengan mudah di mana-mana 152 lorong tol MyDebit untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.
Bagaimana anda boleh membantu?
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Bin Saidi, dalam ucapannya, berkongsi mekanisme Sentuhan Ikhlas yang menyumbang kepada kebaikan secara kolektif melalui transaksi tol harian.
Setiap transaksi MyDebit di lebuhraya-lebuhraya kami memberi impak keluarga yang memerlukan. Kami berharap inisiatif ini akan memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai pengguna untuk bersama-sama kami menyertai kempen Sentuhan Ikhlas ini.
CEO Kumpulan ALR, Sazally Saidi
Mahu sumbang RM500,000 kepada Yayasan MyKasih
Kempen ini mempunyai matlamat untuk menyumbang sejumlah RM500,000 kepada Yayasan MyKasih setelah mencapai 5 juta transaksi MyDebit dalam tempoh dua bulan. Setiap pembayaran tol MyDebit yang dibuat di keempat-empat lebuhraya ini menyumbang kepada sasaran transaksi ini – di mana setiap kali pengguna membuat transaksi, PayNet akan menyumbang dana kepada Yayasan MyKasih.
Sumbangan RM500,000 ini akan membantu 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Malaysia untuk membeli makanan dan keperluan isi rumah melalui penggunaan MyKad mereka.
Dana akan diagihkan secara berperingkat, mengikut pencapaian transaksi MyDebit berikut:
- RM100,000 selepas 1 juta transaksi dicapai;
- RM150,000 pada 2.5 juta transaksi dicapai; dan
- RM250,000 apabila mencapai 5 juta transaksi.
Dengan menyertai kempen Sentuhan Ikhlas, para pemandu bukan sahaja menyokong tujuan murni tetapi juga mendapat manfaat dengan kaedah pembayaran yang mudah dan selamat dengan menggunakan MyDebit di lebuhraya-lebuhraya ini. Penukaran kepada MyDebit adalah sangat mudah kerana setiap kad ATM adalah kad MyDebit dan pemandu juga dapat menikmati:
- Keselamatan: Dilindungi dengan penyulitan data peringkat bank dengan sistem pengesanan penipuan.
- Kemudahan: Pembayaran tol yang cepat dan mudah tanpa perlu penambahan nilai kad.
En. Azrul Fakhzan Bin Mainor, Pengarah Kanan, Bahagian Komersial, PayNet mengulas, “PayNet teruja melihat MyDebit diintegrasikan dalam kehidupan seharian para pemandu, sambil menyumbang kepada komuniti yang kurang berkemampuan. Melalui Sentuhan Ikhlas, setiap transaksi MyDebit membuka peluang untuk kita bersama-sama mencipta impak positif.”
Turut berkongsi input yang sama, Yayasan MyKasih menyatakan, “Mereka menghargai kerjasama yang dijayakan oleh Amanat Lebuhraya Rakyat dan PayNet untuk menyokong 1,000 keluarga yang layak menerima bantuan makanan dan keperluan. Dengan adanya usaha murni ini, ia dapat melahirkan masyarakat yang penyayang selain dapat membentuk peribadi yang mulia.”
Kempen Sentuhan Ikhlas adalah cetusan inspirasi yang baik kepada kita semua bahawa tindakan kecil juga boleh memberi impak yang ketara. Amanat Lebuhraya Rakyat dan PayNet menyeru semua pemandu untuk turut serta menjadi sebahagian daripada inisiatif bermakna ini. Maklumat lanjut berserta kemaskini berkala tentang kemajuan kempen boleh didapati di sini.