KOTA SAMARAHAN: Program Pelaksanaan Live-Run Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Tahun 2025 bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 penerima di seluruh Sarawak menerusi penggunaan kredit yang dimasukkan ke dalam kad pengenalan penerima.
Menurut Pegawai Kewangan Persekutuan Perbendaharaan Malaysia Sarawak Leonard Wilfred Yussin, sesi pertama telah diperkenalkan sejak 15 Januari lalu dan 28,000 orang sudahpun membuat pembelian menerusinya.
“Apa yang menarik pada pagi ini adalah berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, penerima boleh menggunakan kredit SARA menerusi kad pengenalan yang diimbas terlebih dahulu untuk membuat pembelian,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Hari ini, seramai 35 penerima SARA telah melaksanakan Live-Run Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Tahun 2025 yang turut dihadiri agensi awam lainnya.
Barang-barang yang boleh dibeli adalah terhad kepada barang keperluan asas harian dan penjagaan diri yang tertera label perekat pada rak jualan untuk memudahkan pembelian dibuat oleh penerima.
Penerima yang layak boleh menyemak status menerusi pengimbas dan terminal yang disediakan secara percuma kepada rakan niaga oleh pihak MyKasih.
“Penerima yang layak (golongan miskin tegar) akan menerima mesej SMS menerusi telefon pintar masing-masing dan tidak perlu membuat sebarang pendaftaran.
“Sebaliknya terus membuat pembelian dengan rakan niaga tidak melebihi RM100.
“Bagaimanapun RM100 ini hanya untuk bulan Januari sehingga Mac, seterusnya April hingga Disember penerima akan menerima RM200 sebulan,” ujarnya.
Sebanyak 230 rakan niaga telah menyertai program ini di Sarawak.
Bagaimanapun, bagi peniaga yang berminat untuk menyertai boleh berhubung terus dengan pasukan MyKasih untuk mendaftar seterusnya diberikan pengimbas dan terminal secara percuma bagi melaksanakan transaksi.
Penerima seterusnya bermula April adalah mereka yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Source : Utusan Borneo Online